Wednesday, 29 April 2015

Videos of IniAnwarHadi




Semalam saya sudah post mengenai video "vlogger" pertama yang saya minat.
Hari ini saya akan post mengenai video "vlogger" kedua yang saya minat.
Jom kita tengok..


IniAnwarHadi



Adakah kita telah bersedia?



Bahasa.



What things you can't live without it?


Untuk video yang lain, boleh klik link di bawah.
https://www.youtube.com/user/IniAnwarHadi


Tuesday, 28 April 2015

Videos of matluthfi90



Kali ini lain sikit post saya..
Sebelum-sebelum ini saya post mengenai perjalanan hidup saya daripada sekolah hingga ke universiti..
Kali ini pula, saya post mengenai "vlogger" yang saya minat.
Terdapat dua orang "vlogger" yang saya minat.
Pertama : matluthfi90
Kedua : IniAnwarHadi
Disini saya sertakan video-video mereka yang menjadi pilihan saya.
Jom kita saksikan.


matluthfi90



You only have to live up to expectation when you are responsible to.



We need both intelligent and kind people :)



A good advice for those who want to marry.


Untuk video yang lain, boleh klik link di bawah.
https://www.youtube.com/user/matluthfi90


Sunday, 19 April 2015

Universiti Utara Malaysia - 5D 218



Universiti Utara Malaysia (UUM) merupakan salah sebuah universiti yang menjadi pilihan saya dalam melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Program pengajian yang menjadi pilihan saya ialah  Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian (BBA Hons.) selama 4 tahun (8 semester).

5D 218 merupakan bilik yang dihuni oleh saya untuk semester 1 dan 2. Di sini saya berkongsi bilik dengan Nurshazlina (Syaz). Syaz berasal daripada Manjung, Perak dan turut mengambil program pengajiaan  yang sama dengan saya. Walaupun tidak selalu bersama, tetapi hubungan kami baik.





p/s : terima kasih untuk kejutan hari jadi..

Tuesday, 14 April 2015

Kolej Matrikulasi Johor - A32



KMJ Praktikum A32 sesi 2013/2014


Kelas A32 merupakan kelas kedua saya di Kolej Matrikulasi Johor (KMJ), selepas mengambil keputusan untuk menukar modul daripada aliran sains modul 3 (MT) kepada perakaunan. Masuk minggu kedua barulah saya berpeluang untuk berkenalan dengan mereka semua (ahli kelas A32) selepas proses penukaran modul selesai. Walaupun pengenalan kami lewat 2 minggu, tetapi saya tidak berasa tersisih untuk bersama-sama dengan mereka ketika baru berpindah masuk ke dalam kelas tersebut. Ini kerana mereka menerima kehadiran saya dengan baik. Selain daripada saya, terdapat 1 orang lagi rakan baru yang turut berpindah masuk ke dalam kelas A32. Beliau ialah Nur Nabihah, pelajar sains modul 1 (MS).

Walaupun pada permulaannya saya berasa janggal ketika bersama-sama mereka kerana tidak mengenali satu sama lain, akan tetapi saya dapat menyesuaikan diri di dalam kelas ini dan mula berkenalan dengan ahli kelas A32. Bermula daripada seorang ke seorang saya mula berkenalan, dan akhirnya tidak sampai 2 minggu berpindah masuk saya mula rapat dengan mereka semua.


Praktikum A32 hanya mempunyai 16 orang pelajar sahaja. 5 orang lelaki dan 11 orang perempuan.

KMJ Praktikum A32 sesi 2013/2014
dari kiri, belakang = Nabihah, Ruveda, Hidayah, Ainul, Fatin, Mila (arwah)
dari kiri, tengah = Intan, Najibah, Izzat, Ikhwan, Irfan, Erna, Lim Sek Zen
dari kiri, depan = Raushan, Qaiyum
(tiada dalam gambar - Zuriyana)



Bersama-sama dengan ahli kelas A32 ini, saya banyak berkongsi pengalaman dan kenangan yang tidak akan dilupakan sepanjang hayat saya. Banyak pengalaman baru buat pertama kalinya saya rasai ketika bersama-sama dengan ahli kelas ini. Antaranya ialah :-


1. Menyambut bulan Ramadan di perantauan.
     
 Bulan Ramadan pada tahun 2013 merupakan tahun pertama saya tidak bersama-sama keluarga untuk menyambut bulan Ramadan. Walaupun sedih kerana tidak dapat bersama-sama dengan keluarga, tetapi kesedihan itu berkurangan dengan adanya rakan-rakan seperjuangan. Kesedihan itu boleh dikatakan terlerai ketika duduk bersama-sama ahli kelas untuk berbuka puasa bersama-sama.





2. Bercuti di Johor Bahru
     
Pada cuti pertengahan semester (kalau tak silap) kami telah pergi bercuti di Johor Bahru. Tujuan percutian ini adalah untuk merehatkan minda selain daripada mengisi masa lapang cuti. Hanya sebahagian daripada ahli kelas A32 sahaja yang pergi kerana ada diantara kami sudah mempunyai program dan rancangan yang lain. Antara tempat yang kami kunjungi ialah Larkin, Danga Bay dan Kota Tinggi. 





3. Sambutan hari lahir yg ke 19


      
Pada tanggal 18 March 2014, buat pertama kalinya dalam sejarah hidup, hari lahir saya disambut dengan tepung. Walaupun pada awalnya agak terkejut dengan kejutan itu, tetapi itu tidak menimbulkan perasaan marah sebaliknya gembira kerana tidak menyangka mereka akan memberikan kejutan sedemikian rupa. Walaupun hanya kejutan tepung, itu merupakan hadiah yang teristimewa yang saya terima sebelum melangkah ke usia 20-an. Kenangan itu akan terpahat di hati saya sehingga akhir hayat dan tak akan saya lupakan. Bagi saya, sudah cukup dengan hanya ucapan selamat ulang tahun tanpa memberikan apa-apa hadiah, kerana ucapan selamat itu sudah mampu membuatkan hati saya berasa terharu kerana ada orang yang sudi untuk mengingati hari lahir saya. (walaupun besar kemungkinan Facebook yang memberikan notifikasi / informasi).



Saturday, 11 April 2015

Kolej Matrikulasi Johor - MT15




Pada minggu pertama iaitu minggu orientasi di Kolej Matrikulasi Johor (KMJ), saya telah dimasukkan ke dalam kelas MT 15. Kelas ini merupakan kelas modul ketiga (MT) bagi aliran sains. Perbezaan diantara modul pertama (MS), modul kedua (MD) dan modul ketiga (MT) bagi aliran sains ialah subjek yang dipelajari. Bagi kelas MS, pelajar mempelajari ketiga-tiga subjek sains iaitu Biologi, Kimia dan Fizik. Ini berlainan pula dengan kelas MD dan MT. Bagi kelas MD, pelajar tidak mempelajari subjek Biologi manakala bagi kelas MT pula pelajar tidak mepelajari subjek Fizik.

Berbalik kepada kelas MT 15, walaupun baru berkenalan dengan ahli kelas ini, saya berasa amat selesa dengan mereka. Hubungan kami sepanjang minggu orientasi ini boleh dikatakan agak rapat walaupun baru berkenalan dan ada kalanya perangai kami sekelas seperti sudah berkawan lama.

Jom tengok gelagat kami sekelas sepanjang minggu orientasi di KMJ.


Budak-budak ceria - KMJ MT15

Malam terakhir minggu orientasi (1)

Malam terakhir minggu orientasi (2)

Malam terakhir minggu orientasi (3)

Friday, 10 April 2015

Kolej Matrikulasi Johor - D.T 3.8



Gambar pertama ahli bilik (roommate)

 Pertama kali menjejakkan kaki di Kolej Matrikulasi Johor (KMJ), perasaan saya amat berdebar-debar. Pelbagai andaian bermain dalam fikiran saya ketika ingin mendaftarkan diri. "Budak bilik sapa dia? OK ka dak?" , "Boleh ka ada kawan kat sini?" , "Kawan-kawan sekolah, sapa yang masuk sini?" , dan banyak lagi. Perasaan takut sememangnya menghantui diri saya sepanjang perjalanan ke sini kerana sifat diri saya yang susah untuk berkawan dengan orang. Bagi yang baru mengenali saya, mereka akan beranggapan bahawa saya ini seorang yang sombong kerana tidak bergaul dengan orang lain. Akan tetapi, segala perasaan dan andaian itu hilang selepas saya berkenalan dengan mereka semua dan mereka mengenali.

Bilik D.T 3.8 akan saya ingat selamanya kerana buat pertama kalinya saya merasai suasana tinggal di asrama. Setiap bilik di setiap blok dihuni oleh 4 orang pelajar. Bilik saya iaitu D.T 3.8 dihuni oleh saya (Erna Sharmeena), Nor Syazana (Nana), Amiratul Farhana (Mira) dan Siti Aisyah (Echah). Keempat-empat kami berasal dari negeri yang berbeza iaitu dari Kedah (saya), Perak (Nana dan Mira) serta Selangor (Echah). Apa yang menariknya tentang kami ialah masing-masing tidak pernah tinggal di asrama sebelum dan buat pertama kalinya berpisah dengan keluar tersayang.

Jom kita lihat wajah-wajah ahli bilik D.T 3.8.


Erna dan Echah

Erna dan Mira

Erna dan Nana

Kami_D.T3.8

Wednesday, 8 April 2015

SMK Ibrahim - SPM



Budak-budak kelas SN3 SMKI sesi 2011/2012

Ramai yang kata tingkatan 4 merupakan 'honeymoon year' atau dalam Bahasa Melayu nya 'bulan madu' disebabkan pada tahun sebelumnya pelajar telah selesai menduduki PMR sementara menunggu masa untuk menghadapi SPM pada tahun berikutnya pula. Saya juga tidak terkecuali untuk berangggapan dan berfikiran sedemikian.

Kami mula memasuki sesi persekolahan baru selepas lebih kurang 1 minggu keputusan PMR diumumkan. Pada minggu pertama sesi persekolahan tingkatan 4, kami telah dibahagikan mengikut kelas masing-masing. Saya telah diletakkan di kelas 4 SN3 bersama-sama dengan beberapa orang rakan ketika di menengah rendah (A1). Di dalam kelas tersebut terdapat 12 pelajar lelaki dan 20 perempuan. Kali ini kelas saya mempunyai pelbagai bangsa berbanding kelas dahulu.

Sewaktu di tingkatan 4, sesi persekolahan saya banyak dihabiskan dengan pelbagai aktiviti bersama-sama rakan-rakan sekelas dan setingkatan, dengan andaian "Takpa la. Kita rehat dulu tahun ni. Tahun depan tumpu la kat SPM. Tak boleh main-main dah..". Akan tetapi, ungkapan dan kata-kata itu menghantui saya dan rakan-rakan yang lain apabila menjelangnya tanggal 1 Januari 2012, dimana sesi persekolahan baru bermula dan kami telahpun berada di tingkatan 5.

Walaupun sibuk untuk menghadapi SPM, masih terdapat banyak kenangan manis yang tercipta semasa saya di tahun akhir persekolahan. Jom tengok gambar-gambar kenangan ketika di SMKI kelas SN3 sesi 2011/2012..

jamuan tingkatan 5

karnival relay 2012 (1)

karnival relay 2012 (2)

ahli kumpulan drama subjek English

Tuesday, 7 April 2015

SMK Ibrahim - PMR

SMKI kelas A1 2008/2010


Ketika pertama kali saya menjejakkan kaki ke dalam sekolah dan kelas ini, saya telah menerima kejutan budaya yang amat besar. Hal ini kerana sebelum ini saya bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Convent Father Barre, dimana kesemua pelajarnya adalah perempuan. Apabila naik ke sekolah menengah, saya memasuki Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim dimana terdapat pelajar lelaki. Ini membuatkan saya berasa tidak berapa selesa untuk bergaul dan berkawan dengan mereka. Akan tetapi, lama-kelamaan perkara tersebut tidak lagi menjadi masalah kepada saya kerana sudah terbiasa dengan  persekitaran baru itu.

Kelas A1 merupakan nama kelas saya selama 3 tahun sepanjang saya berada di menengah rendah. Tidak berubah dari tingkatan 1 hingga tingkatan 3 kecuali bilangan ahlinya yang semakin berkurang disebabkan berpindah ke sekolah lain. Ahli kelas ini akhirnya menjadi sedikit  dan merupakan kelas yang paling sedikit bilangan ahlinya berbanding 6 buah kelas yang lain. Tak silap saya cuma terdapat 27 orang ahli saja di dalam kelas ini (ketika di tingkatan 3). Lelaki hanyalah 11 orang manakala perempuan pula 16 orang. Yang menjadikan kelas saya unik ialah tidak mempunyai pelajar cina berbanding kelas-kelas yang lain dan merupakan satu-satunya kelas yang wajib mempelajari Bahasa Jepun sebagai subjek tambahan.

Banyak kenangan manis yang tercipta dan terlakar diantara saya dan rakan kelas semasa menengah rendah. Jom kita imbas kembali wajah-wajah suci pelajar-pelajar SMKI A1 sesi 2008/2010.


sebahagian budak lelaki (tingkatan 1)

  sebahagian budak perempuan (tingkatan 2)
sebahagian budak kelas A1

Friday, 3 April 2015

Tempat Ku Menuntut Ilmu




1. Sekolah Kebangsaan Convent Father Barre






Saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Convent Father Barre (SKCFB) daripada darjah 1 hingga darjah 6. Sekolah ini terletak di Jalan Kolam Air, 08000, Sungai Petani, Kedah. SKCFB menyediakan 4 buah kelas untuk setiap darjah dimana kelas pertama ialah Setia, kedua ialah Rajin, ketiga ialah Kreatif dan keempat ialah Cekal. Jika kita gabung huruf pertama setiap kelas ini, maka akan terhasil nama sekolah ini iaitu SRKC (Sekolah Rendah Kebangsaan Convent). 



2. Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim






Selepas mendapat keputusan UPSR dan tamatnya sekolah rendah, saya telah ditawarkan untuk bersekolah di Sekolah Menengah Kebanngsaan Ibrahim (SMKI). Sekolah ini turut terletak di Jalan Kolam Air, 08000, Sungai Petani, Kedah. Untuk pengetahuan semua, SMKI dan SKCFB hanyalah terletak bersebelahan dan hanya terpisah dengan Sekolah Kebangsaan Ibrahim (SKI). Di SMKI, pihak sekolah telah menyediakan 7 buah  kelas untuk pelajar menengah rendah. Untuk kelas pelajar menengah atas, pihak sekolah saya menyediakan 5 buah kelas untuk aliran sains tulen, 1 buah kelas untuk aliran sains sosial dan juga 1 buah kelas untuk aliran kejuruteraan.selain itu juga, sekolah ini turut menempatkan pelajar tingkatan 6 atas dan 6 rendah. Walaupun SMKI merupakan sekolah menengah harian biasa, tetapi sekolah ini  mempunyai 4 buah asrama yang disediakan untuk pelajar yang tinggal jauh daripada sekolah ini. Saya bersekolah di SMKI ini selama 5 tahun daripada tngkatan 1 hingga tingkatan 5.



3. Kolej Matrikulasi Johor






Kolej Matrikulasi Johor (KMJ) merupakan tempat dimana saya menyambung pelajaran selepas tamatnya SPM. Walaupun tidak memilih KMJ sebagai pilihan untuk ke matrikulasi, saya telah ditawarkan ke sana. KMJ terletak di Jalan Payamas, 84900 Tangkak, Johor. Saya berada di KMJ selama 1 tahun (2 semester) untuk sesi 2013/2014. Walaupun pada permulaannya saya berasa susah hati kerana pertama kali berjauhan dengan keluarga, tetapi saya tetap menyahut panggilan KMJ untuk meneruskan pengajian saya ini. Pada mulanya, saya ditawarkan untuk mengikuti aliran Sains modul 3, tetapi saya telah menukarkannya ke aliran Perakaunan semasa di KMJ. 



4. Universiti Utara Malaysia






Universiti Utara Malaysia (UUM) terletak di bahagian utara semenanjung Malaysia iaitu di Sintok, Kedah. Selepas saya tamat pengajian di KMJ, saya mendapat tawaran di UUM dalam bidang sarjana muda pengurusan perniagaan. Saya amat bersyukur kerana dapat menjejakkan kaki ke UUM kerana UUM merupakan salah satu universiti yang saya kagumi di Malaysia ini. Walaupun perjalanan saya untuk mendaki puncak kejayaan baru bermula, saya berdoa agar dipermudahkan segala urusan dan sentiasa diredhai dan diberkati oleh Allah SWT.



Oleh itu, marilah kita bersama-sama mendoakan kejayaan dan perjalanan hidup saya dan rakan-rakan seperjuangan yang lain supaya berjalan dengan lancar dan jayanya.